Monday, June 22, 2009

guru ? cikgu ? teacher ?

Secara etimologi (asal-usul kata atau sejarahnya) kata ‘guru’ berasal dari bahasa sanskerta, merupakan sebuah kata nama yang membawa maksud cikgu, lebih tepatnya pembimbing kerohanian atau pembimbing ilmu pengetahuan kerohanian.

Secara kata sifat (adjektif), ‘guru’ bermaksud ‘berat’ atau ‘hebat’ , dimana dalam kontek bahasanya sifat ‘berat’ atau ‘hebat’ ini merujuk kepada sifat seseorang yang ‘berat (penuh / banyak / luas) dengan pengetahuan’ atau ‘hebat dengan ilmu kerohaniannya’ atau ‘hebat dengan pelbagai ilmu pengetahuannya’.

Perkataan ‘guru’ berakar dari kata “gri” yang dalam bahasa sanskerta bermaksud ‘untuk bangkitkan (menyedarkan)’. Ia juga berkait rapat dengan kata “gur” yang bermaksud ‘untuk bangun (sedar)’ atau ‘untuk menghasilkan usaha’.

Secara sukukata pula ‘gu’ bermaksud ‘kegelapan’ dan sukukata ‘ru’ bermaksud ‘cahaya’ atau ‘diterangi’. Maka ‘gu’ & ‘ru’ bolehlah diertikan sebagai ‘insan yang membimbing seseorang keluar dari kegelapan (tak berilmu) untuk diterangi cahaya ilmu’. Pendapat lain mengatakan ‘gu’ & ‘ru’ ini adalah ‘seseorang yang melenyapkan kejahilan kerohanian seseorang dengan membawa sinar pertunjuk (cahaya ilmu) kerohanian kealam spiritualnya’.

Jika ‘gu’ itu umpama ‘sihir yang menyebabkan jiwa seseorang menjadi gelap dan menyesatkannya’ maka ‘ru’ itu adalah ‘kuasa yang memecahkan belenggu sihir’ tersebut.


Dari sedikit perbahasan di atas, jelas martabat insan yang bernama ‘guru’ ini amat tinggi duduk letaknya. Guru tak sama dengan cikgu.(teacher).. ‘guru’ adalah ‘master’. Semua ‘guru’ adalah cikgu namun bukan semua cikgu adalah ‘guru’.

Martabat ‘guru’ ini tinggi dari sudut istilah asal atau sejarah asal kata bahasanya. Sayangnya, pemahaman dan penggayaan kata ini dalam bahasa kita di zaman ini telah sedikit ‘memurahkan’ martabatnya. Kata ‘guru’ bagi zaman nenek-moyang kita dulu masih tak tersasar dari makna asalnya. Kata ‘guru’ untuk zaman sekarang.. ‘nilai’nya diletak sama dengan erti cikgu. Dimana silapnya?? Silap anak muridnyakah.. atau silap cikgunya?? Entahlah…

Pada saya, kita akan bertemu ramai mereka yang menjadi cikgu akan sesuatu kepada kita … namun untuk bertemu seorang ‘guru’ tidaklah semudah yang disangka. ‘Guru’ perlu dicari.. dicari… dan dicari… mungkin dari 100 cikgu ada terselit 1 ‘guru’.

Siapalah saya untuk menilai yang mana cikgu atau yang mana guru… namun, sang ‘murid’ akan tahu siapakah cikgunya dan siapakan ‘guru’nya. Wallahualam.

No comments: